Friday, June 1, 2007

Monolog Tanjung Lipat

Kedengaran suara - suara berbisik
Bersama alunan ombak Tanjung Lipat
Terkandung seribu kata
Tersingkap seribu makna
Antara kedua - duanya
Aku masih dalam kesamaran
Mengatur langkah mencari realiti
Suara pertama...
Kejarlah cita - citamu
Genggamlah harapan
Usah biarkannya berterbangan
Dibawa arus mudamu
Menangislah untuk hari ini
Agar terukir senyuman menanti fajar esok
Dan kedengaran suara kedua...
Bersukacitalah masa mudamu
Usah sekat kebebasan hati
Peluang hanya sekali
Keseronokan adalah milikmu
Kerana esok masih ada
Antara suara - suara itu...
Aku pasti ada yang derita
Dan aku juga pasti....
Akan ada yang bahagia.

Yus & Nai
2002

FATAMORGANA

Fatamorgana

Pagi itu aku menyusuri lembah kota yang berdebu dan penuh sesak. Sudah lumrah, manusianya bersifat egois….materialistik dan mementingkan keseronokan semata – mata. Itulah dunia masa kini yang diagung – agungkan oleh manusia sejagat. Motosikalku hampir terbabas ketika sebuah kereta memintas laju dengan jarak yang amat dekat dan menghimpit aku ketepi jalan. Penuh hipokrit….
Selama dua hari aku di kota asing ini, tiada tempat yang menarik perhatian. Indah khabar dari rupa....memang inilah kenyataannya. Tempat – tempat yang sering dipuja para pelancong cuma merosakkan penglihatan dan pendengaran. Sungguh menjijikkan.....kompleks membeli – belah yang terbesar dikota asing ini merupakan tempat persinggahan anak muda yang digelar kaki lepak, bohsia, bohjan dan yang seangkatan dengannya. Inikah yang dikatakan menarik? Tempat yang dijadikan untuk menghiburkan hati....melupakan masalah, rupa – rupanya tempat ala neraka. Penghuninya meneguk minuman berbuih.....asap maut memenuhi ruang.....dengan tayangan – tayangan badan tak cukup kain, ditambah pula dengan campuran ’estacy’ dan ganja.....mungkin inilah neraka di bumi nyata. Muda – mudi berkepit macam belangkas, gagal membezakan cinta suci dengan nafsu berahi. Nilai kemanusiaan hilang dicelah – celah keangkuhan lampu neon kotanya. Aku benar – benar ingin melarikan diri daripada arus yang ngeri ini. Aku susuri lagi jalan yang dikelilingi bunga – bunga yang sedang mekar itu. Nasib baik aku menjumpai tempat ini. Agaknya....mungkin inilah satu – satunya tempat yang damai, tenang dan aman di kota ini. Penghuninya adalah warga senja yang menanti kehadiran malam tiba. Anak – anak muda entah ke mana....mungkin melayan nikmat duniawi. Aku habiskan masa di tempat ini. Aku selesa disini...dan seorang lelaki tua berumur lingkungan 30-an berjambang menarik perhatianku. Keadaanya amat daif sekali. Dari awal pagi hingga ke petang, dia akan berada dikawasan yang agak luas di taman itu. Jika dilihat dari pergerakannya, dia seolah – olah sedang bermain bola. Gigih betul dia berlatih....entah – entah dia pemain simpanan pasukan kebangsaan. Kadang – kala dia menggelecek lawan, kemudian menanduk bola....memang dia pemain bola sepak yang hebat. Aku kagum melihatnya, sesekali dia mengelap peluh di dahinya, kemudian membetulkan stokinnya yang terlucut ke bawah. Dia tidak menghiraukan keadaan di sekelilingnya. Dia menumpukan sepenuh perhatian pada latihan yang dijalaninya. Kadang – kala dia juga menjerit meminta bola....dan kemudiannya melenting marah.....mungkin rakan sepasukannya tidak mengendahkannya, dan terus dia bermain tanpa memperdulikan orang lain.Dia hanyut dalam fantasinya.....dalam dunia khayalan yang diciptanya. Baginya, hanya dia sahaja yang hidup di sana. Kata orang, dia gila, betulkah? Mungkin kerana dia bercakap seorang diri, bermain seorang diri....lantas itulah dia digelar gila? Tetapi dia tidak pernah menyusahkan orang lain jauh sekali menyakiti....namun dia tetap digelar gila. Adilkah...atau sudah adat dunia yang bersikap begitu. Mungkin nasib dan takdirnya itu sudah tertulis dalam buku kehidupan sejak dulu lagi. Entah....tiada siapa yang tahu.
Itulah anggapan penghuni kota asing ini. Anggapan yang berdasarkan teori semata – mata. Anggapan yang mengetepikan dasar perikemanusiaan....sedangkan wajah diri diselindungkan disebalik topeng kepura – puraan. Inilah bentuk manusia yang diwarisi daripada kota asing ini....insannya tidak pernah mengenal identiti sendiri. Wajarkah manusia yang waras membuang darah dagingnya sendiri yang tidak mengerti apa – apa.....yang dilahirkan atas noda dan dosa dirinya sendiri??? Waraskah manusia mengagungkan dadah dan ganja yang mencemarkan pemikiran dan budaya bangsanya? Atau...waraskah manusia membaham anak sendiri gara – gara bertakhtakan nafsu semata – mata? Siumankah.....atau mereka lebih gila daripada orang gila yang bermain bola tadi.....dan betapa lucunya orang gila menyatakan orang gila itu gila...Aneh sekali....
Aku meneruskan perjalananku yang masih jauh lagi. Kota asing ini inginku tinggalkan secepat mungkin. Terlalu angkuh dan jelek....Penghuninya banyak diselimuti noda dan bayang – bayang hita,. Mungkin aku akan menemukan kota yang lebih damai lagi disepanjang perjalananku nanti. Penghuni kota ini seolah – olah akan hidup seribu tahun lagi sedangkan usia semakin merangkak tua. Mereka terus hanyut dalam nikmat yang bersifat sementara....tetapi mereka tidak pernah tahu bahawa hidup ini hanya satu persinggahan....satu pengembaraan....dan kita akan dijemput pulang suatu hari nanti....mungkin esok ataupun lusa atau hari – hari seterusnya tetapi yang pasti kita tetap dijemput pulang....

Akan datang ke dunia ini
Akan pergi dari dunia ini
Jika datang, bawalah
Jika pergi tinggalkanlah??

Ini adalah karangan semata – mata, penulisnya bukanlah sempurna sangat. Tapi sedaya upaya menempuh hari ini, esok pula tak jamin kerana hari ini adalah untuk hari ini, saya tak nak cakap besar.

23 Tahun



Sandakan Sepilok


Coursemate at Universiti Malaysia Sabah


Kuala Menggatal Racing Club